Latihan percubaan PLKN 3.0 bermula Januari 2025, libatkan 200 pelatih - Utusan Malaysia

Latihan percubaan PLKN 3.0 bermula Januari 2025, libatkan 200 pelatih

ADLY Zahari ketika ditemui pemberita pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Latihan percubaan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula pada 12 Januari tahun hadapan yang melibatkan seramai 200 orang pelatih lelaki terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, fasa percubaan selama dua minggu itu akan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di ibu negara.

“Ia adalah sebagai percubaan kerana sesi sebenar akan bermula pada bulan Jun 2025, melalui percubaan ini saya fikir ia boleh menilai keberkesanan kita punya silibus dan juga modul latihan seterusnya boleh dilakukan penambahbaikan.

“Kita ada banyak pengalaman melalui PLKN yang dulu, oleh itu saya fikir menerusi kaedah ini (percubaan) ia akan dapat mempercepatkan proses kita untuk melengkapkan dan memastikan pada bulan Jun itu benar-benar kita bersedia sepenuhnya.

“Diketahui PLKN kali ini akan dilaksanakan melalui kem-kem Wataniah di seluruh negara cuma kali ini (percubaan) hanya dimulakan dengan satu kem yang melibatkan seramai 200 pelatih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Adly lagi, Kementerian Pertahanan tidak mempunyai masalah untuk mencapai bilangan 200 orang pelatih selain mereka yang mendaftar secara sukarela.

“Buat masa ini, kita memang tumpukan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM cuma daripada segi akta sahaja yang menyebut ia boleh disertai pelatih sehingga usia 35 tahun,” katanya lagi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak dilaksanakan pada tahun 2023, seramai 216 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menikmati manfaat geran berjumlah RM1.8 juta menerusi inisiatif PUVET ATM.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya