RANTAU PANJANG: Larangan aktiviti rentas sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini kekal dan terpakai semua penduduk termasuk pelajar.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak bagaimanapun berkata, mekanisme itu akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah.
“Undang-undang ini terpakai kepada semua, Jadi mereka (pelajar) perlu menggunakan tiga pintu masuk yang sah. Perkara (peraturan) ini kita perlu laksanakan secara berhemah.
“Insya-Allah sekiranya ibu bapa memberikan sokongan, kita tidak mempunyai masalah,” katanya semasa ditemui pemberita selepas mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.
Mesyuarat hampir tiga jam itu turut sertai oleh Polis Kelantan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan beberapa agensi lain.
Hamzah memberitahu, selain soal pelajar mesyuarat tersebut turut membincangkan perkara-perkara lain berkait dengan melaksanakan arahan itu sebagaimana yang diumumkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat sebelum ini.
Katanya, kenyataan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Kelantan selepas ini.
“Kita perlu melaksanakan peraturan ini demi keutuhan dan kedaulatan negara,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hampir 400 pelajar yang tinggal di Thailand dan berulang alik dengan perahu menyeberangi Sungai Golok memilih untuk bersekolah di sini kerana mereka adalah warganegara Malaysia.
Utusan Malaysia difahamkan, kira-kira 150 daripada mereka belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) di bawah selian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selebihnya, mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Ugama selian Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Difahamkan, perkahwinan antara penduduk Malaysia dan Thailand, menjadi faktor ibu bapa mereka memilih untuk menetap di negara Gajah Putih itu.
Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Zue, 15, berkata, dia dan tiga lagi adiknya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sebagai warganegara Malaysia.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, bermula 1 Disember depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.
Menurutnya, rakyat Malaysia akan ditangkap sebaik menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram.-UTUSAN