Larangan pelajar rentas sempadan guna pangkalan haram 1 Disember, JPN Kelantan serah cadangan pada KPM

Larangan pelajar rentas sempadan guna pangkalan haram 1 Disember, JPN Kelantan serah cadangan pada KPM

MOHD. Zamri Abdul Aziz semasa ditemui pemberita selepas mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan menyerahkan segala cadangan berkait larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang turut melibatkan pelajar Malaysia berkuatkuasa 1 Disember ini kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Pengarahnya Datuk Zamri Abdul Aziz berkata, JPN Kelantan akan ikut segala arahan yang telah diputuskan semasa mesyuarat tadi.

“Semua hasil cadangan semasa mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan beberapa agensi lain hari ini akan diserahkan kepada Menteri.

“Soal pelajar ini akan ditempatkan di asrama kita teliti terlebih dahulu, adalah kaedah pelaksanaannya nanti,” katanya semasa ditemui pemberita selepas mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Mesyuarat hampir tiga jam itu turut sertai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PGA dan beberapa agensi lain.

Utusan Online hari ini melaporkan, larangan aktiviti rentas sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang  Sungai Golok bermula 1 Disember ini kekal dan terpakai semua penduduk termasuk pelajar.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak bagaimanapun berkata, mekanisme itu akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah.

Sebelum ini, hampir 400 pelajar yang tinggal di Thailand dan berulang alik dengan perahu menyeberangi Sungai Golok memilih untuk bersekolah di sini kerana mereka adalah warganegara Malaysia.

Utusan Malaysia difahamkan, kira-kira 150 daripada mereka belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) di bawah selian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selebihnya, mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Ugama selian Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Difahamkan, perkahwinan antara penduduk Malaysia dan Thailand, menjadi faktor ibu bapa mereka memilih untuk menetap di negara Gajah Putih itu.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Zue, 15, berkata, dia dan tiga lagi adiknya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sebagai warganegara Malaysia.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, bermula 1 Disember depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia akan ditangkap sebaik menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya