KUALA TERENGGANU: Lapan pendaki dari Terengganu mencipta kelainan apabila mengenakan kain batik dan semutar ketika menawan Everest Base Camp (EBC) di Kathmandu, Nepal, Selasa lalu.
Ketua Ekspedisi, Abdul Karim Endut, 54 berkata, idea untuk berpakaian tradisional itu bertujuan menonjolkan identiti Terengganu di persada dunia.
Menurutnya, cabaran pendakian selama 15 hari ke EBC dengan mendaki puncak setinggi 5,364 meter itu adalah satu kenangan yang tidak akan dilupakan oleh mereka.
“Pendakian hari kesembilan pada Selasa bermula dari Perkampungan Lobuche yang berada para paras 4,910 meter sekitar jam 7.30 pagi dan pasukan kami selamat tiba di EBC pada pukul 3 petang waktu tempatan di sini.
“Sepanjang pendakian, keadaan cuaca sangat sejuk dengan suhu serendah antara negatif lapan hingga 16 darjah Celsius.
“Alhamdulillah, pendakian dapat disempurnakan walaupun berdepan banyak cabaran terutama cuaca tidak menentu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Program kembara itu melibatkan Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (KSKK) dengan Kerjasama Kelab Terengganu BackPackers.