SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKKNS) mengesahkan menerima lapan notifikasi kejadian wabak disyaki Leptospirosis (penyakit kencing tikus) dengan pesakit mempunyai sejarah mengunjungi pusat rekreasi di Ulu Bendul, Kuala Pilah pada 10 hingga 16 November lalu.
Pengarah JKKNS, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, pada 19 November lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban telah menerima tiga notifikasi kes disyaki Leptospirosis dari Klinik Kesihatan Sendayan di sini yang melibatkan sebuah keluarga dengan gejala demam, muntah dan cirit-birit.
Jelas beliau, pesakit mempunyai sejarah mengunjungi pusat rekreasi itu pada 10 November.
Katanya lagi, PKD Seremban turut menerima pertambahan lima notifikasi kes dengan gejala yang sama dengan sejarah ke pusat rekreasi yang sama di antara 10 November hingga 16 November lalu.
“Jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak lapan kes di mana satu kes telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut manakala tujuh kes lagi telah diberikan rawatan pesakit luar.
“Sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.
“Penilaian risiko telah dijalankan ke atas pusat rekreasi tersebut dan sampel persekitaran turut dihantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesanan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dr. Harlina menambah, tindakan kawalan dan pencegahan sewajarnya telah diambil oleh agensi berkaitan dan pusat rekreasi berkenaan telah ditutup sementara waktu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula hari ini hingga 15 Disember bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dijalankan.-UTUSAN.