Lambakan lembu Thailand, daging di Kelantan murah

Lambakan lembu Thailand, daging di Kelantan murah

DAGING lembu segar kini di jual pada harga RM25 sekilogram di Kelantan. –UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lambakan lembu dari Thailand menyebabkan harga daging segar tempatan jatuh menjunam sehingga dijual serendah RM25 sekilogram berbanding sebelum ini antara RM32 hingga RM35 sekilogram.

Situasi itu menyebabkan orang ramai sanggup beratur panjang terutama pada hari minggu semata-mata mahu mendapatkan bahan mentah tersebut pada harga ‘rahmah’.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa peniaga daging di sekitar Kota Bharu, Melor dan Tanah Merah menjual bahan mentah itu di bawah harga pasaran iaitu RM32 sekilogram sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, lambakan lembu dari Thailand menjadi punca kepada kejatuhan harga daging segar di negeri ini.

Katanya, lambakan itu menyebabkan para peniaga mula ‘main harga’ untuk menarik pelanggan ke gerai mereka sekali gus menghabiskan barangan jualan dalam tempoh yang singkat.

“Lembu hidup kita jual secara timbangan. Sekitar tahun 2018 hingga 2022 lembu itu jual RM10 untuk sekilogram.

“Namun sejak bulan Julai lalu ia dijual dengan harga RM7 untuk sekilogram. Bila murah, peniaga mula berlumba-lumba menjual daging lembu pada harga murah,” katanya.

Menurut sumber, lembu-lembu itu melibatkan baka dari jenis Brahman, limosin dan Charolais.

Katanya, jualan daging lembu sehingga RM20 itu sudah merebak ke seluruh negeri sekali gus memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan membeli bahan mentah itu pada harga lebih murah.

Seorang peniaga dari Tanah Merah, Che Hasnah Che Ramli, 42, berkata, dia menjual daging lembu pada harga RM25 sekilogram dengan niat sedekah untuk arwah ayahnya.

“Hari biasa akan menyembelih lima ekor lembu. Jumlah itu naik kepada 30 ekor pada hujung minggu. Hujung minggu saya jual RM15 untuk sekilogram daging lembu segar.

“Niat saya supaya semua orang dapat merasa daging segar pada harga murah. Walaupun untung kecil, namun rezeki untuk saya tetap ada.” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengguna Muhammad Idris, 50, menyambut baik penurunan harga daging lembu ketika ini dan menyifatkan ia sebagai satu rahmat buat golongan kurang berkemampuan.

“Bila harga murah, dapatkan kami simpan stok dengan buat daging pekasam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN