PETALING JAYA: Malaysia perlu mengharamkan pasukan tentera upahan dari mana-mana negara dan melabelkan mereka sebagai organisasi pengganas.
Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Prf. Dr.Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, menerusi langkah tersebut kerajaan dapat menyekat rakyat Malaysia yang mahu menjadi tentera upahan di semua pintu masuk negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selain itu katanya, kerajaan dapat mengatur gerak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari sebarang unsur sokongan terhadap unit tentera upahan.
“Sekiranya kita label dan gazetkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Wagner atau tentera upahan dalam ‘16th Rifle Battalion Ukraine’, kita boleh sekat mereka dari awal lagi iaitu di KLIA sebelum mereka berlepas ke luar negara.
“Tetapi disebabkan kita tidak gazetkan mereka sebagai pengganas, maka ia agar sukar (sekat),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini tular penemuan dua keping gambar menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Ada dakwaan dalam media sosial, ia milik seorang rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya, sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.
Lelaki berkenaan kononnya dikatakan terbabit sebagai tentera upahan dalam ‘16th Rifle Battalion Ukraine’ yang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Dalam pada itu Mohd. Mizan berkata, mereka yang terlibat sebagai tentera upahan memberikan ancaman sama seperti Islamic State (IS) yang merupakan organisasi pengganas.
“Mereka ini berfikiran radikal dan bertindak ganas semasa berkhidmat sebagai tentera upahan, malah mereka diberi latihan untuk berperang sama seperti IS.
“Sebab itu Malaysia perlu bertindak awal dalam memastikan mana-mana rakyat kita tidak menyertai mana-mana unit tentera upahan,” jelasnya.
Menurut Mohd. Mizan, gaji yang diterima mencecah RM50,000 sebulan sebagai tentera upahan menjadi tarikan termasuk rakyat di negara ini.
“Menyertai pasukan tentera upahan bukan disebabkan simpati semata-mata tetapi disebabkan gaji sebagai faktor utama,” ujarnya.