Kursus intensif bahasa Arab di USIM dijangka bermula semester depan

Kursus intensif bahasa Arab di USIM dijangka bermula semester depan

SHARIFUDIN MD SHAARANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengambilan pertama pelajar yang akan mengikuti kursus intensif bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dijangka bermula pada semester depan menerusi penubuhan Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pelaksanaan program bahasa Arab berkenaan akan dijalankan dengan kerjasama Institut Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Al-Sharif bagi memastikan tahap penguasaan bahasa Arab pelajar berada pada tahap optimum sebelum mereka meneruskan pengajian.

“Dengan penubuhan institut ini, kami berharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan erat antara USIM dan Al-Azhar melalui pertukaran kepakaran serta memperkasa penguasaan bahasa Arab,” katanya kepada pemberita semalam.

Sebelum ini, ketika di Kaherah, Mesir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Al-Sharif perlu melalui kursus intensif bahasa Arab di USIM bermula tahun depan.

Perdana Menteri, berkata pelaksanaan program bahasa Arab dengan kerjasama Institut bahasa Arab Universiti Al-Azhar Al-Sharif itu dibuat bagi memastikan penguasaan bahasa Arab pelajar menepati piawaian ditetapkan sebelum meneruskan pengajian.

Sementara itu, Dr. Sharifudin berkata, Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif yang akan ditubuhkan itu juga akan menawarkan kursus-kursus pemantapan bahasa Arab berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat kepada golongan profesional, pentadbir dan individu yang berminat untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Arab masing-masing.

“USIM mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang bahasa Arab dan ramai tenaga pengajarnya merupakan alumni Al-Azhar. Selain itu, prasarana bagi institut ini telah disediakan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri,” jelasnya.

USIM merupakan universiti awam ke-12 di negara ini yang menjadikan bahasa Arab sebagai satu bahasa pengajaran dan pembelajaran utama di kampus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya