PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah menawarkan kuarters guru yang tidak berpenghuni kepada agensi kerajaan lain bagi memastikan kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah ini diambil untuk kuarters bertingkat di Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji, Kangar, Perlis yang terdiri daripada dua blok dengan 16 unit.
Walau bagaimanapun, tawaran ini masih belum mendapat sambutan.
Kata beliau, kuarters tersebut berada dalam keadaan baik dan terletak di lokasi strategik namun tidak diduduki kerana beberapa faktor termasuk kadar sewaan rumah bertanah di kawasan sekitar yang lebih rendah berbanding potongan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun Bantuan Sara Hidup (BSH).
“Warga KPM cenderung untuk menyewa di luar kerana kos yang lebih rendah. Bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters yang kosong, KPM sudah membuka tawaran kepada agensi kerajaan lain yang berminat untuk menduduki kuarters tersebut. Namun, sehingga kini, tiada permohonan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Penjelasan tersebut bagi menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang meminta KPM menyatakan status kuarters guru di SK Utan Aji memandangkan kemudahan tersebut dilaporkan tidak digunakan sepenuhnya.