KAMPAR: Kebolehan bertutur dengan fasih dalam tujuh bahasa iaitu Kantonis, Hokkien, Mandarin, Tamil, Malayalam, Punjabi, Inggeris dan Melayu menjadi ‘modal’ bagi seorang pengusaha restoran makanan di sini menarik kehadiran pelanggan.
Malah, pemilik Restoran Iqa Corner Nasi Wanggey Malim Nawar, Ramjan Bebe Sheikh Mohd. Khan, 54, berkata, kelebihan itu ternyata memudahkan beliau memahami secara terperinci setiap pesanan pelanggannya.
“Biasalah pelanggan ini ada pelbagai ragam selain terdapat segelintir yang tidak mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu terutamanya warga emas.
“Mereka menjadi seronok dan terus menjadi pelanggan tetap apabila saya dapat bertutur bahasa mereka dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ramjan yang dikenali pelanggan dengan panggilan Kak Jan berkata, kebolehan itu memudahkannya mengendalikan operasi restorannya dengan baik termasuk aspek pembelian barangan kering dan basah dengan pembekal sekitar.
“Mudah untuk tawar menawar selain mendapat diskaun daripada pembekal dan penjual,” katanya.
Ramjan berkata, kemahiran itu bermula semasa dia berumur 13 tahun semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani di Bidor, Tapah dekat sini.
“Selepas berkahwin, saya belajar bahasa Malayalam dengan suami manakala bahasa Tamil, Punjabi dengan kawan-kawan.
“Kelebihan ini membolehkan saya mendapat ramai kawan merentasi kaum,” katanya.