KPKM laksana kajian pesawah tuai padi kurang 75 hari - Utusan Malaysia

KPKM laksana kajian pesawah tuai padi kurang 75 hari

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat melakukan penyelidikan bagi varieti padi baharu yang boleh dituai dalam tempoh kurang daripada 75 hari bagi meningkatkan hasil pesawah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa ini benih padi yang terdapat dalam negara mempunyai umur matang antara 110 hingga 120 hari.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan giat melakukan kajian bagi membolehkan pesawah memperoleh benih padi yang mempunyai tempoh matang lebih singkat sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran.

“KPKM melalui agensi penyelidikan seperti Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan badan penyelidikan swasta.

“Ini bagi pembangunan varieti benih padi baharu yang boleh dituai dalam tempoh kurang daripada 75 hari, bertoleransi tinggi kepada pengairan yang fleksibel dan berdaya tahan dalam cuaca ekstrem.

“Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), MARDI menyasarkan ia berada pada peringkat penilaian hasil varieti matang awal di peringkat multilokasi dan penentusahan setempat di kawasan jelapang bersama pesawah. Varieti tersebut disasar untuk dikomersilkan pada tahun 2027,” katanya di dalam jawapan bertulis bagi Jawab Lisan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang memintanya menyatakan usaha KPKM untuk membangunkan benih padi sah yang tempoh matangnya lebih pendek untuk mengurangkan kos ditanggung pesawah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, berdasarkan senarai varieti benih padi yang diisytiharkan sedia ada, MARDI mempunyai varieti matang awal sekitar 95 ke 105 hari seperti MR211, MR253, MR220 CL1 dan MR 220 CL2.

Jelasnya, varieti-varieti benih padi itu mempunyai potensi hasil sekitar enam hingga lapan tan metrik per hektar.

“Varieti seperti MR 220-CL2 merupakan antara varieti yang popular dan banyak digunakan oleh pesawah di Semenanjung Malaysia berikutan hasil yang tinggi dan tempoh matang yang singkat sekitar 97 hari,” jelasnya.

Tambahnya, dalam tempoh terdekat juga MARDI akan memperkenalkan varieti baharu bagi membantu pesawah.

“MARDI menyasarkan untuk memperkenalkan varieti baharu yang sesuai bagi persekitaran kawasan luar jelapang pada tahun 2025,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya