MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan kira-kira 300 kilogram ayam yang merupakan rampasan barang kes melibatkan penggunaan logo halal tidak sah kepada Zoo Melaka.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, ayam berkenaan merupakan antara tujuh barang kes yang dilupuskan hari ini setelah proses pendakwaan selesai untuk tahun ini dengan nilai keseluruhan berjumlah RM88,155.30.
Jelasnya, barangan mentah seperti ayam tidak dilupuskan begitu sahaja kerana ia boleh dimanfaatkan agensi-agensi tertentu seperti Zoo Melaka sebagai sumber makanan haiwan-haiwan karnivor.
“Aktiviti pelupusan KPDN Melaka yang diadakan hari ini juga merupakan aktiviti pelupusan kali kelima diadakan bagi 2024 dan ia melibatkan sejumlah 1,025 unit barangan tiruan pelbagai jenis antaranya seperti wayar pengecas telefon, syampu, pakaian dan produk aksesori telefon.
“Pelupusan hari ini juga melibatkan satu kes penggunaan logo halal tidak sah melibatkan ekshibit 79 ekor ayam sejuk beku dan 150 kilogram bahagian ayam sejuk beku, bersamaan 300 kilogram yang akan didermakan kepada Zoo Melaka.
“Kesemua barangan ini dilupuskan selepas mendapat arahan oleh mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Pelupusan KPDN Melaka, Krubong di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, Zoo Melaka memerlukan hampir 50 kilogram sehari barangan mentah sebagai makanan kepada haiwan karnivor seperti harimau, singa dan buaya.
“Dengan 300 kilogram ayam yang diterima hari ini ia boleh digunakan selama enam hari untuk haiwan-haiwan ini. Jadi penerimaan ini sedikit sebanyak mengurangkan kos makanan haiwan di Zoo Melaka.
“Secara keseluruhan kita membelanjakan kira-kira RM3 juta setahun untuk membeli makanan haiwan. Untuk barangan mentah bagi haiwan karnivor pula dianggarkan hampir RM200,000 setahun,” katanya. – UTUSAN