KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk prosiding mengenai perolehan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing (FWCMS) pada 10 Disember ini.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya berpandangan kontrak FWCMS antara kerajaan dengan syarikat, Bestinet Sdn. Bhd (Bestinet) yang ditandatangani pada September lalu sebagai langkah kurang cermat.
Menurut beliau, caj bayaran yang dikenakan adalah tinggi dan akan membebankan majikan serta pekerja asing.
Jelasnya, PAC akan memanggil Jawatankuasa Induk FWCMS yang dipengerusikan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta tiga ahli Jawatankuasa Induk termasuk Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki
Mokhtar; Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN, Datuk Awang Jeman.
Selain itu, katanya, turut dipanggil adalah KSU Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Dr. Fazidah Abu Bakar.
“Keterangan dan penjelasan daripada Jawatankuasa Induk FWCMS ini penting bagi PAC mendapatkan justifikasi terhadap keputusan Kerajaan menandatangani kontrak perjanjian Sistem FWCMS dengan Bestinet,” katanya di dalam satu kenyataan.
Mas Ermieyati berkata, keputusan kerajaan untuk menandatangani kontrak tersebut dimaklumkan kepada PAC dalam prosiding tindakan susulan KESUMA dan KDN bagi syor-syor laporan pihakna berhubung pengurusan pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS yang diadakan pada 6 November lalu berdasarkan Arahan Perbendaharaan 304(b) pindaan 2023.
Beliau berkata, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Ramzi Mansor; Awang Alik dan Azman hadir sebagai saksi dalam prosiding tersebut.