DUBAI: Gaza, Lubnan dan Sudan memerlukan masa selama beberapa dekad untuk kembali pulih daripada konflik yang berlaku di wilayah mereka.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, tindakan ketenteraan Israel terhadap pejuang Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lubnan serta perang saudara di Sudan, akan meninggalkan kesan jangka panjang.
“Kerosakan yang disebabkan oleh konflik ini akan meninggalkan parut kekal di kawasan tersebut selama beberapa dekad,” kata badan kewangan global itu dalam satu kenyataan, kelmarin.
IMF menurunkan ramalan pertumbuhan bagi Asia Barat dan Asia Tengah kepada 2.1 peratus untuk 2024, penurunan sebanyak 0.6 peratus disebabkan oleh peperangan dan pengeluaran minyak yang lebih rendah.
Menurut Tinjauan Ekonomi Serantau IMF yang disusun pada September, pertumbuhan sepatutnya meningkat 4.0 peratus tahun depan, bergantung kepada perkembangan konflik.
“Tahun ini sangat mencabar dengan konflik yang menyebabkan penderitaan dahsyat manusia dan kerosakan ekonomi berpanjangan.
“Peningkatan konflik terbaharu di Lubnan meningkatkan ketidaktentuan di seluruh rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA),” kata Pengarah Jabatan Asia Barat dan Asia Tengah IMF, Jihad Azour.
IMF menggantung ramalan untuk Lubnan susulan konfliknya dengan Israel meningkat dengan ketara bulan ini.
Namun, anggaran ‘konservatif’ menunjukkan penguncupan 9.0 hingga 10 peratus tahun ini, kata Azour.
“Kesan (terhadap Lubnan) akan menjadi teruk dan ia bergantung kepada berapa lama konflik ini akan berlanjutan,” kata bekas menteri kewangan Lubnan itu.
IMF berkata, pengurangan minyak yang diketuai Arab Saudi melalui kumpulan OPEC+, bertujuan untuk menaikkan harga, menyumbang kepada pertumbuhan jangka pendek yang perlahan dalam banyak ekonomi.
Bagi pengeksport minyak rantau itu, pertumbuhan jangka sederhana diunjurkan menjadi sederhana kerana pembaharuan kepelbagaian ekonomi akan mengambil masa untuk menunjukkan hasil.
Badan kewangan itu berkata, risiko penurunan terus mendominasi termasuk turun naik harga komoditi, konflik dan kejutan iklim.- AFP