KUANTAN: Sampai masanya kerajaan menaik taraf Klinik Kesihatan Beserah di sini sebagai hospital mini yang bukan sahaja dilengkapi kemudahan perubatan sebaliknya menyediakan perkhidmatan unit kecemasan.
Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, sejak beroperasi pada 9 September 2004, klinik itu memberi manfaat kira kira 66,000 penduduk termasuk menyelia Klinik Desa Alor Batu di sini.
Cumanya, beliau yang juga Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Indera Mahkota berkata, jika berlaku kecemasan waktu malam, penduduk di Beserah terpaksa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang penuh dengan pesakit dan perlu menunggu lama bagi mendapatkan rawatan.
“Cuba bayangkan penduduk dari Kampung Sungai Ular perlu memandu sejauh 35 kilometer jika berlaku kecemasan terutama waktu malam.
“Jadi, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan secara serius bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Beserah kepada hospital mini kerana tanah dalam kawasan klinik ini masih ada yang boleh dibangunkan 10 tingkat bangunan yang menempatkan wad dan parkir bertingkat serta menampung kira-kira 100 ke 150 katil pesakit.
“Jika ada kemudahan berkenaan, penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah dan Parlimen Indera Mahkota tidak perlu lagi bersesak ke HTAA, jadi kerajaan negeri perlu mengaji perkara ini dan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.
Nazrul Izad berkata, sebelum dinaik taraf sebagai hospital mini, menjadi harapan penduduk di Indera Mahkota dan Beserah supaya Klinik Kesihatan Beserah beroperasi pada waktu malam bagi pesakit luar atau kecemasan.
“Setelah meneliti prasarana yang ada pada ketika ini, Klinik Kesihatan Beserah seharusnya beroperasi pada waktu malam bagi pesakit luar.
“Peruntukan kerajaan Madani untuk Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2025 berjumlah RM45 bilion. Jadi, kementerian terbabit perlu menempatkan doktor dan kakitangan hospital pada waktu malam serta tidak menjadikan alasan tiada peruntukan untuk perkara tersebut.
“Usul ini juga sudah dibawa pada Persidangan UMNO Bahagian Indera Mahkota yang lalu dan semoga perkara ini dipandang serius demi kepentingan rakyat di sini,” katanya. – UTUSAN