KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal supaya mengikut peraturan dan tidak datang ke Pejabat Sabah Mineral Management (SMM) seperti ‘samseng’.
Beliau berkata demikian susulan tindakan Mohd. Shafie selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang menghantar wakilnya datang ke Pejabat SMM bagi mendapatkan maklumat yang diinginkan.
“Saya ingin menyatakan di sini, antara apa yang kita telah persetujui, tiada masalah (dapatkan dokumen) tapi, kita ada peraturan. Sekiranya wakil-wakil rakyat mahu dokumen daripada SMM, tulislah surat tentang apa yang dimahukan.
“Saya ingat kita kena ada peraturan. Jangan kita pergi masuk pejabat orang begitu sahaja…macam samseng minta apa yang kita mahu. Saya ingat tidak boleh buat sebegitu,” katanya semasa persidangan DUN Sabah, hari ini.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat ADUN Senallang sepatutnya lebih tahu tentang peraturan untuk mendapatkan maklumat daripada syarikat di bawah milik kerajaan.
Mendengar penjelasan itu, Mohd. Shafie memaklumkan beliau bukan berlagak seperti samseng dan sudah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM. Namun, jika itu kehendak Ketua Menteri maka, beliau akan menghantar surat.
“Bukan kita tidak tahu peraturan. Saya minta YB jangan menyebut tentang perkataan samseng, itu tidak betul sebab kita bukan berlagak samseng. Saya cuma berharap perkara ini dapat kita atasi,” katanya.
Kemudian Justin Wong (Warisan-Sri Tanjong) turut berdiri dan meminta Ketua Menteri agar menarik balik penggunaan perkataan samseng kerana ia satu sangkaan jahat.
Hajiji berkata, memang beliau ada menerima laporan mengenai wakil ADUN Senallang datang ke Pejabat SMM.
Pertikaian lidah antara Ketua Menteri dan ADUN pembangkang itu berjaya diredakan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M. Yahya yang meminta semua ADUN berkenaan duduk bagi mendengar penjelasannya.