KUANTAN: Kira-kira 47 anak-anak cilik sebuah pusat didikan kanak-kanak swasta di sini bersama 13 guru teruja apabila dibawa menaiki kapal terbang Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini sempena lawatan sambil belajar ke Petrosains, Kuala Lumpur pada 11 November lalu.
Video memaparkan lawatan berkenaan tular setelah dikongsikan pengguna. TikTok, Azni A.R Azizan.
Berdasarkan kapsyen video itu, Azni berkata, mereka mula berkumpul di LTSAS bersama ibu dan bapa yang menghantar sejak pukul 4 pagi.
Katanya, urusan pendaftaran bagi kesemua anak-anak cilik tersebut begitu mencabar.
“Cabaran bermula sewaktu pendaftaran masuk di lapangan terbang di Kuantan lagi.
“Bayangkanlah kita orang mula check-in (daftar masuk) pukul 5.30 pagi tetapi pukul 7 pagi kami masih tidak siap-siap lagi,” katanya.
Dalam pada itu, kata Azni lagi, tujuan membawa kanak-kanak itu menaiki kapal terbang sebagai salah satu pendedahan awal menggunakan pengangkutan awam selain bas.
“Bas anak-anak memang sudah biasa dan trip awal tahun pun mereka sudah cuba menaiki bas. Jadi kali ini kami hendak bawa mereka naik kapal terbang dan keretapi pula,” katanya di ruangan komen aplikasi berkenaan.
Sementara itu, Azni turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada penumpang yang menaiki kapal terbang yang sama atas sebarang kesulitan yang tidak dapat dielakkan.
Katanya lagi, mereka sangat berterima-kasih kepada pihak Malaysia Airlines atas perkhidmatan baik yang diberikan.
Selain itu, kanak-kanak berkenaan juga berpeluang menaiki keretapi laju Express Rail Link (ERL) dan Light Rail Transit (LRT) untuk ke destinasi yang dituju sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN