KUALA SELANGOR: Sebuah kilang roti di kawasan perindustrian di Puncak Alam di sini, diserbu selepas disyaki melepaskan efluen minyak dan gris berlebihan ke dalam sistem pembentungan awam, hari ini.
Hal itu dikesan menerusi serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kira-kira pukul 12 tengah hari tadi yang mendapati sisa diesel di saluran pembetungan sekitar kawasan premis dibuang secara berlebihan menyebabkan ia tersumbat.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kilang itu dijalankan hasil aduan daripada Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) mengenai wujud pelepasan efluen terlarang.
“Semakan IWK sebelum ini mendapati kilang itu dipercayai pernah mengeluarkan cecair berwarna putih yang mempunyai kesan minyak.
“Namun, siasatan tidak menunjukkan pelepasan cecair itu hari ini dan kami mengeluarkan notis pembersihan bagi tindakan lanjut premis berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu, hari ini.
Jelasnya, kilang yang menjalankan industri makanan dan minuman) kebiasaannya melepaskan banyak sisa minyak dan gris.
“Namun, kita mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi pihak berkenaan. Prosedur itu perlu bagi memastikan saluran pembetung atau lurang tidak tersumbat sehingga berlakunya limpahan air di kawasan tersebut,” ujarnya.
Tambah Mohd. Fazil, pihaknya akan menghantar sampel air saluran itu kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis lanjut. – UTUSAN