Ketidakcekapan sistem RFID antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Ketidakcekapan sistem RFID antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidakcekapan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol sehingga menyusahkan pengguna lebuh raya antara agenda sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut Aturan Urusan Me­syuarat Dewan Rakyat bertarikh 24 November, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu terbabit.

Beliau turut meminta kementerian itu sama ada terdapat cadangan untuk menyelaraskan sistem bayaran tol di seluruh negara bagi mengelak kesesakan.

Pada 29 September lalu, 11 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini secara rasmi melaksanakan sistem kutipan secara Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT).

Ia memenuhi kehendak pengguna yang mahukan lebih ba­nyak pilihan dalam kaedah pembayaran tol agar dapat mengatasi isu kesesakan teruk yang sering dialami terutama pada waktu puncak dan musim perayaan yang antaranya berpunca daripada kaedah pembayaran yang terhad.

Menerusi SPT, pengguna boleh menggunakan kad debit atau kad kredit untuk membayar tol sekali gus memberi pilihan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada menggunakan Touch ‘n Go (TNG), SmartTag dan RFID.

Dalam pada itu, antara agenda lain sidang Dewan Rakyat adalah mengenai usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam menambah peruntukan pembangunan perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah terutamanya di kawasan luar bandar.

Selain itu, bagi aspek pertahanan negara, Kementerian Pertahanan disoal mengenai apakah penarikan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari status aktif operasi untuk menjalani program senggaraan pasang pulih (refit) bakal memberikan kesan yang buruk terhadap aspek kesiagaan pencerobohan maritim di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif milik Malaysia.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta perjelas rasionalisasi penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) dan menyatakan juga pembaharuan serta penambahbaikan yang dilaksanakan menerusi penjenamaan itu.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang kini bersidang bersidang selama 35 hari bermula 12 Oktober hingga 12 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya