Kesedaran petani carum Perkeso, 44,884 daftar SKSPS sehingga Oktober - Utusan Malaysia

Kesedaran petani carum Perkeso, 44,884 daftar SKSPS sehingga Oktober

AHMAD Firdaus Hashim beramah mesra bersama pengamal media negeri ini dalam satu majlis di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 44,884 pendaftaran direkodkan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) melibatkan pekerja dalam sektor pertanian khususnya pesawah di seluruh negara dari Januari hingga pertengahan Oktober tahun ini.

Manakala di Perlis pula, merekodkan sebanyak 2,250 pendaftaran dalam sektor tersebut yang juga merupakan salah satu pekerjaan berisiko yang memerlukan kesedaran terhadap perlindungan sosial berkenaan.

Secara keseluruhan melibatkan pendaftaran pekerja di bawah SKSPS dalam tempoh tersebut ialah 712,666 dengan Perlis pula merekodkan 9,748 pendaftaran.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Ahmad Firdaus Hashim berkata, golongan petani semakin menunjukkan kesedaran untuk mencarum dengan pihaknya turut mendapat kerjasama baik daripada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Beliau berkata, pihaknya terus mempergiatkan usaha di semua PPK khususnya bagi bertemu petani berkongsi maklumat dan menggalakkan mereka agar mencarum.

Katanya, Perkeso negeri juga menyasarkan mencapai pendaftaran menyeluruh melibatkan keseluruhan 25,000 pesawah di negeri ini.

“Kerajaan telah menyediakan subsidi caruman sebanyak 90 peratus bagi 20 sektor termasuk pertanian dengan bayaran caruman hanya RM23.30 manakala baki RM209.50 dibiayai kerajaan untuk perlindungan selama setahun dari tarikh bayaran berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 9,086 suri rumah di negeri ini telah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sehingga September lalu.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sehingga lebih 300 peratus berbanding tahun lalu iaitu melibatkan 2,525 pendaftaran.

“Peningkatan ketara itu menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan wanita khususnya suri rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus memberitahu, sehingga 30 September lalu, Perkeso negeri telah membayar faedah membabitkan 85 kes melibatkan jumlah keseluruhan RM356,260.01.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya