PETALING JAYA: Pasukan pendakwaan membabitkan kes bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan harta belum mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.
Menurut sumber Jabatan Peguam Negara, Timbalan Pendakwa Raya akan berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum tindakan seterusnya diputuskan.
Sumber itu berkata, ia adalah selaras seperti dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam bahawa tindakan seterusnya akan diputuskan oleh timbalan pendakwa raya setelah perbincangan dilakukan oleh SPRM bersama pihak terbabit.
Semalam, Allahyarham Daim meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat strok di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya pada pukul 8.21 pagi.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, di sini dengan penghormatan terakhir itu dihadiri lebih 500 orang termasuk kenalan, keluarga dan pemimpin-pemimpin politik negara.
Ekoran itu, SPRM menjelaskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya akan memutuskan tindakan seterusnya berhubung kes Daim.
Azam dilaporkan berkata, tindakan seterusnya akan diputuskan oleh pendakwaan setelah perbincangan dilakukan oleh SPRM bersama pihak terbabit.
Menurut beliau, perkara tersebut kemungkinan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
Sementara itu, pada pengurusan kes rayuan Allahyarham di Mahkamah Tinggi hari ini supaya pertuduhan yang dihadapi dibicarakan bersama dengan isterinya Penolong Kanan Pendaftar memaklumkan bahawa alasan penghakiman belum sedia.
Susulan itu, peguam Allahyarham memohon satu tarikh lain untuk mendapatkan arahan keluarga berkenaan rayuan berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari tahun depan untuk pengurusan kes bagi arahan selanjutnya.
Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa dan mengaku tidak bersalah pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.- UTUSAN