SHAH ALAM: Sesi perbincangan khas akan dilakukan dengan kesatuan jururawat esok bagi mengenal pasti isu penambahan waktu kerja kepada 45 jam yang berkuat kuasa pada 1 Disember depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pertemuan itu melibatkan lima kesatuan jururawat yang mahu berkongsi input berkaitan pelaksanaan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkenaan.
Menurutnya, ia meliputi Kesatuan Jururawat Malaya; Kesatuan Bidan-bidan dan Jururawat Masyarakat Kerajaan Semenanjung Malaysia; Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sabah; Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia.
“KKM (Kementerian Kesihatan) mahu pelaksanaan itu dapat memastikan kebajikan dan kemaslahatan mereka terutama jururawat terbela.
“Kita perlu mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan agar semua hal berbangkit diuruskan secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perubatan Tradisional dan Komplementari (Intracom) ke-10, hari ini.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini dilaporkan mahu KKM mengadakan dialog menyeluruh antara kerajaan dan badan profesional kerana ketiadaan libat urus seumpama itu.
Keadaan itu didakwa melemahkan pendekatan kolaboratif yang diperlukan bagi merangka dasar yang adil dan sesuai dengan realiti lapangan.
Sementara itu, dalam perkara berasingan, Dzulkefly memberitahu, pihaknya menghormati langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Saringan Minda Sihat ke atas murid di sekolah di bawah seliaan kementerian tersebut.
“Berkaitan kesesuaian atau keberkesanan saringan itu, kita belum dapat memberikan sebarang maklum balas ketika ini. Namun, kita sedia bekerjasama dengan KPM bagi memastikan kesan positif pelaksanaan berkenaan,” ujarnya.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan KPM melaksanakan saringan itu sebagai mekanisme pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang mengalami gangguan emosi.
Pelaksanaan itu dilakukan setahun sekali kepada semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam. – UTUSAN