SERDANG: Dua lelaki warga emas maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi tol di Plaza Tol Sungai Besi Lebuhraya Utara Selatan ( Plus) arah Seremban, di sini, awal pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan berkaitan kemalangan pada 3.42 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan kereta Honda CRV di mana dua lelaki berusia 65 tahun tersepit di bahagian hadapan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa berjaya dilakukan oleh anggota bomba dan kedua-dua disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak olis untuk tindakan lanjut.- UTUSAN