MARAN: Keluarga gadis pendiam, Ummul Ayuni Mohd. Khamis, 15, dari Kampung Paya Chedung di sini tidak menyangka anak ketiga daripada enam beradik itu bertindak melarikan diri dari rumah selepas pergaduhan kecil adik beradik kira-kira pukul 2.15 petang, Jumaat lalu.
Ibu gadis berkenaan, Saharah Mazlan, 39, berkata, akibat pergaduhan kecil dengan kakak yang memintanya membuang sampah, Ummul Ayuni berasa hati dan merajuk membawa diri entah ke mana lokasi yang tidak diketahui sehingga kini.
Menurutnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran itu yang mesra dengan panggilan manja Ma dilihat keluar dari pintu belakang rumah oleh kakaknya.
“Kami mengejarnya tetapi tidak jumpa. Sejak kehilangan Ma petang Jumaat lalu, saya tidak makan dan tidur kerana teringat nasib anak gadis yang mungkin mengalami pelbagai kemungkinan.
“Saya bersama suami, Mohd. Khamis Ismail, 46, puas berhubungi rakan-rakannya dan saudara mara di Maran, Jengka dan Temerloh tetapi masih tidak mendapat petunjuk di mana dia berada,” katanya di Kampung Paya Chedong di sini.
Saharah bimbang Ma terperangkap dengan kenalan baharu atau sindiket tertentu yang mungkin dikenali dalam internet.
“Ibu mana yang tidak bimbang dengan kehilangan anak gadis yang tidak pernah keluar bersendirian malah tidak pernah naik bas tanpa ditemani saya dan adik beradiknya. Saya merayu mana-mana pihak dapat menghubungi pihak polis jika melihat kelibat Ma berwatak pendiam yang mempunyai tanda tahi lalat di muka yang mudah dikenali.
“Ma juga keluar sehelai sepinggang membawa telefon bimbitnya, 0169929763 tetapi tidak dapat dihubungi atau mungkin dimatikan oleh pihak tertentu atau kehabisan bateri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai memberitahu, polis menerima laporan daripada keluarga gadis berkenaan kelmarin dan usaha mengesan Ummul Ayuni sedang giat dijalankan.
Menurutnya, pakaian terakhir dilihat dipakai oleh gadis berkenaan iaitu bertudung warna hitam, baju kemeja lengan pendek corak petak-petak warna hitam-putih, seluar slack warna hitam dan memakai selipar jenis sandal hitam.
“Ciri-ciri mangsa rambut paras bahu warna hitam, berbadan sederhana, tinggi lebih kurang 150 sentimeter dan ada tanda pengecaman mempunyai tahi lalat di bahagian pipi sebelah kiri,” katanya. – UTUSAN