Kerajaan rancang bangunkan koridor baharu khusus pelancongan di PD - Utusan Malaysia

Kerajaan rancang bangunkan koridor baharu khusus pelancongan di PD

RAFIZI Ramli sewaktu berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama kerajaan Negeri Sembilan di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Negeri Sembilan sedang menjalankan usaha secara bersama bagi membangunkan sebuah koridor baharu ekonomi khusus bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan di daerah Port Dickson.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu mengambil kira sektor perkhidmatan dan pelancongan yang merupakan antara penyumbang paling signifikan kepada ekonomi Negeri Sembilan dan kedudukan strategik negeri ini dan daerah Port Dickson.

“Negeri Sembilan sewajarnya boleh pergi jauh sebagai pusat pelancongan dan rekreasi seluruh Semenanjung Malaysia terutama di pantai barat kerana jajaran pantai yang paling panjang dan boleh digunakan untuk tujuan pelancongan adalah di Negeri Sembilan.

“Latar belakang itulah yang dibincangkan beberapa tahun di antara Kementerian Ekonomi dan kerajaan Negeri Sembilan iaitu bagaimana untuk membangunkan satu koridor baharu yang berasaskan pelancongan dan perkhidmatan.

“Usaha untuk membangunkan koridor ini dapat diusahakan bersama walaupun kerajaan Persekutuan tidak akan ada satu pihak berkuasa koridor baharu tetapi ia boleh dibangunkan secara terus di antara kerajaan negeri dan kementerian berkaitan” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini. Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Rafizi menjelaskan, beliau akan melakukan susulan dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi membangunkan rangka tindakan untuk usaha tersebut.

“Koridor ini juga adalah bagi memenuhi permintaan masyarakat yang memang memerlukan fasiliti pelancongan dalam negara yang boleh memenuhi keperluan mereka. Untuk terus menambah kemasukan pelancong asing, kita kena terima hakikat bahawa kemudahan dan produk pelancongan kita mesti dinaik taraf dengan segera dan ia mesti bertaraf dunia.

“Ini tidak boleh berlaku dengan hanya pelaburan dari kerajaan tetapi ia juga memerlukan pelaburan besar untuk membina produk-produk pelancongan. Sekarang ini ini persetujuan di peringkat dasar dan tugas kerajaan untuk membangunkan perancangan itu bagi diterjemahkan dan pelabur akan berminat cuma ia memerlukan rancangan induk yang baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan jajaran baharu Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) iaitu dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor yang melalui Port Dickson juga pasti akan menarik kehadiran pelabur untuk tujuan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya