Kerajaan negeri alu-alukan tindakan SPRM gempur kegiatan curi hasil bauksit di Pahang - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri alu-alukan tindakan SPRM gempur kegiatan curi hasil bauksit di Pahang

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung perkara tersebut.

“Saya mengalu-alukan tindakan SPRM sebab ini melibatkan hasil. Apabila berlakunya kecurian bauksit, kerajaan negeri akan kehilangan hasil.

“Apa-apapun kita tunggu keputusan mahkamah sebab ia masih dalam peringkat siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Walimatulurus Perdana 2024 Anggun Suri di Dewan Co-Didik Indera Mahkota di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bertegas terhadap mereka yang melakukan aktiviti mencuri hasil galian di negeri ini.

“Memang daripada dahulu lagi kita bagi kerjasama (kepada SPRM) malah mereka yang melakukan kesalahan seperti mencuri atau apa sahaja aktiviti haram, mereka ini bukan sahaja dikompaun, malah terus dibawa ke mahkamah.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya kita dan dengan ada SPRM dapat membantu kita meminimakan atau menghapuskan ketirisan hasil kerajaan negeri,” ujarnya.

Terdahulu, SPRM menahan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikannya di sekitar Bukit Goh di sini semalam dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Ketiga suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini untuk perintah reman yang mana Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan mereka direman enam hari sehingga 19 November ini.

Wan Rosdy dalam pada itu berkata, kejayaan Pahang memperoleh hasil mencecah RM1 bilion berikutan kecekapan kerajaan negeri menguruskan ketirisan dan kebocoran antaranya termasuk kecurian bauksit dan penyalahgunaan kuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN