PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kemalangan membabitkan kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat sini, petang tadi.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 4.48 petang membbaitkan kenderaan tersebut membawa muatan dua kereta perisai ADNAN daripada pasukan yang berpangkalan di Mentakab, Pahang.
“Kenderaan yang dinaiki dua kru KPKP dan dua pemandu dalam perjalanan ke Gemas, Negeri Sembilan untuk tujuan latihan.
“Bagaimanapun, ia telah terbalik ketika melalui lokasi kejadian. Punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, malam ini.
Bagaimanapun, menurutnya, tiada kecederaan kepada anggota mahupun orang awam dilaporkan.
“KPKP mengalami kerosakan,” katanya.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan berkata , kemalangan tersebut dipercayai berlaku akibat KPKP cuba untuk mengelak sebuah treler awam yang telah menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.
“Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP telah hilang kawalan dan
seterusnya terbabas ke jalan bertentangan.
“Kerosakan adalah keseluruhan bahagian Prime Mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang
kecederaan.
“Susulan itu, TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku,” katanya. – UTUSAN