Kemeriahan Karnival Ban Canal bermula

Kemeriahan Karnival Ban Canal bermula

Karnival Ban Canal
TENGKU Amir Shah bergambar dengan peserta kayak pada Majlis Pelancaran Karnival Ban Canal yang dianjurkan dekat Kampung Parit 14, Simpang 5, di Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Karnival Ban Canal bermula dengan menampilkan keunikan pelancongan tempatan seperti makanan serta tarikan aktiviti di Ban Canal itu sendiri seperti kayak, perahu naga, wall climbing dan flying fox.

Malah, ia turut dimeriahkan dengan jualan makanan daripada 12 peniaga yang menampilkan menu istimewa khusus dan terkenal di Sabak Bernam seperti punten, pecal dan lontong, nasi ambeng dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Saipolyazan M. Yusop berkata, Karnival Ban Canal merupakan acara utama yang akan menampilkan keunikan budaya, warisan, dan potensi eko-pelancongan di Sabak Bernam.

“Tahun lepas, Karnival Ban Canal Berjaya menarik 10,000 pengunjung dan juga 1,200 peserta. Tahun ini, Karnival Ban Canal 2024 yang akan berlangsung pada 26 November hingga 1 Disember. Terdapat pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, pameran makanan tempatan dan aktiviti sukan air.

“Ia seiring dengan strategi Selangor untuk mempromosikan pelancongan mampan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, menjadikannya satu acara penting dalam kalendar pelancongan negeri. Kali ini, penduduk Sabak Bernam bersua muka dengan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang berkenan mencemar duli melancarkannya,” katanya.

Penganjuran Karnival Ban Canal kali ini dilancarkan oleh Tengku Amir Shah yang berkenan melancarkannya semalam, ia menyasarkan lebih 20,000 pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung sehingga 1 Disember ini.

Antara aktiviti yang diadakan seperti kayak marathon, kayak sprint, perahu naga dan tradisional, jualan hasil tani tempatan, wall climbing, flying fox, larian bendang, Jualan Ehsan Rahmah, saringan kesihatan percuma, tazkirah malam Jumaat dan Konsert Ban Canal.

Selain itu, terdapat juga pameran daripada jabatan kerajaan dan agensi kerajaan negeri seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pertanian, Agrobank, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah yang menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya.

Pada hari ini, selain aktiviti air dan jualan hasil tani, pengunjung boleh menghadiri Bengkel Sukan Air yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan paling istimewa Roadshow Selangor Red Giants (SRG) To M6 World Championship bermula pukul 8.30 malam.

Ban Canal berkembang bukan sekadar sumber pertanian, malah menjadi destinasi pelancongan, malah selain sebagai terusan, ia kini menjadi destinasi rekreasi bagi komuniti setempat.

Dalam pada itu, bagi peniaga Ilyana Ishak, 45, selain peluang ekonomi penduduk setempat, Karnival Ban Canal adalah peluang terbaik untuk pengunjung khususnya dari luar sendiri untuk merasai keunikan makanan di Sabak Bernam yang mungkin tidak dapat ditempat lain.

“Saya menjual punten serta pecal dan lontong. Punten memang terkenal di Sabak Bernam dan mudah didapati di sini, begitu juga pecal dan lontong merupakan makanan tradisi orang jawa seperti nasi ambeng dan lain-lain. Ia unik kerana bahan digunakan tidak terjual di pasar seperti tauge pendek, sukar didapati,” ujar peniaga tempatan itu.

Bagi, Roslan Yaakub, 56, antara makanan lain terkenal di Anjung Utara Selangor adalah mentarang bakar selain belangkas, kerang dan tiram bakar yang menyebabkan Sabak Bernam sering jadi tumpuan pelancong.

“Itulah istimewanya, semua makanan itu saya jual di Karnival Ban Canal pada harga RM10 hingga RM30. Ia merupakan peluang kepada sesiapa yang tidak pernah rasa makanan seperti mentarang dan belangkas bakar, silalah datang,” kongsi pemilik Kedai Bawah Dua Pokok itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN