KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan sebanyak tiga spesies bunga pakma atau nama saintifiknya Rafflesia telah ditemukan di negeri ini iaitu kerri, cantleyi dan sumeiae.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, berpandukan kepada penemuan itu kerajaan negeri telah mengazetkan 400 hektar tanah di Lojing, Gua Musang bagi tujuan pemuliharaan bunga Rafflesia sejak tahun 2011.
“Kita akan buat kajian serta melindungi spesies bunga terbesar di dunia itu, malahan untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem yang mengelilinginya.
“Pada tahun 2022 kerajaan negeri telah melancarkan Taman Pemuliharaan Rafflesia yang kini menjadi tumpuan penyelidikan alam sekitar dan pelancongan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohamed Fadzli memberitahu, masyarakat harus sentiasa ingat bahawa spesies bunga Rafflesia turut berisiko untuk pupus dan kajian serta pemuliharaannya perlu dilakukan dengan berhati-hati dan penuh bertanggungjawab.
Katanya, langkah berkenaan adalah penting untuk memastikan kita tidak merosakkan kecantikan yang ingin dilindungi.
“Melalui langkah pemuliharaan Rafflesia, kita dapat mencapai keseimbangan antara memelihara spesies berharga ini dan mempromosikan ekopelancongan bagi pembangunan ekonomi negeri.
“Tetapi untuk mencapai tujuan itu, kita perlu menjalinkan kerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti dan pelancong bagi memastikan penyelidikan mengenai pemuliharaan Rafflesia terus berkembang maju untuk generasi akan datang,” ujarnya. – UTUSAN