KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan dengan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 bagi menggantikan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Enakmen baharu itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-15 Tahun 2024.
RUU berkenaan dibahaskan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diikuti penggulungan oleh Hilmi serta Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan sebelum dibaca buat kali kedua dan ketiga.
Seterusnya Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 diluluskan dengan sebulat suara di hadapan Timbalan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohamed Fared Mohamed Zawawi.
Dalam ucapan pembentangannya, Hilmi menjelaskan, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, digubal dan diuluskan pada November 1998 bagi menggantikan Ordinan Panggung Wayang dan Tempat-Tempat Hiburan 1955 (Perluasan Kepada Kelantan).
Menurutnya, sejak dikuatkuasakan bermula 15 Jun 1999, tiada sebarang pindaan atau penambahbaikan dibuat sepanjang 26 tahun, maka banyak kelompangan dikesan yang menimbulkan kesulitan dari pada segi pelaksanaannya.
“Bermula tahun lepas, jawatankuasa induk dan teknikal ditubuhkan bagi mengkaji pelaksanaan enakmen berkenaan dan mendapati adalah lebih baik untuk satu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan baharu digubal.
“Penggubalan enakmen baharu ini selari dengan hasrat pihak berkuasa negeri untuk menukar pegawai pelesen hiburan daripada Ketua Jajahan kepada Yang Dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya semasa berucap pada Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
ADUN Guchil itu berkata, enakmen baharu turut digubal dengan mengambil kira perubahan masa, memastikan tiada lagi kelompangan undang-undang dan menjamin pelaksanaan efektif tanpa meninggalkan nilai-nilai Islam dalam hiburan.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan kali ke-8/2024 yang bersidang pada 8 Mei lalu, meluluskan RUU Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2024 untuk dibentangkan dalam persidangan DUN.
“Ia mempunyai enam bahagian terdiri daripada 48 seksyen dan satu jadual,” ujarnya.