KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menggesa kerajaan negeri membawa pertikaian terhadap keabsahan Akta Wilayah Laut 2012 ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha menuntut hak royalti petroleum bagi negeri ini.
Ketua Pembangkang, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, beliau bersama ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim dan ADUN Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abul Ghani menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Kelantan menuntut royalti petroleum sekiranya ia betul-betul hak milik negeri ini.
Menurutnya, namun begitu mereka bertiga tidak mahu melihat kerajaan negeri sekadar menunggang isu tersebut untuk mencipta polemik dan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Seperti selalu disebutkan beberapa Ahli Parlimen dari Kelantan di Dewan Rakyat, faktor utama menghalang tuntutan royalti petroleum ini adalah penggunaan peruntukan Akta Wilayah Laut 2012 yang ditolak oleh kerajaan negeri dari diimplementasikan di Kelantan melalui persidangan DUN Kelantan pada 5 November 2012.
“Namun sejak itu tiada tindakan lanjut diambil oleh kerajaan negeri dalam Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Beliau yang juga ADUN Galas memberitahu, sekarang adalah masa terbaik bagi kerajaan negeri memperlihatkan kesungguhan untuk mendapatkan royalti tersebut berikutan beberapa ADUNnya merupakan peguam.
Katanya, faktor tersebut dapat memberi kelebihan kepada kerajaan negeri terutama dalam sudut penjimatan kos guaman bagi meneruskan usaha tuntutan royalti petroleum melalui proses perundangan.
“Ia sekali gus dapat membantu kerajaan negeri mengelakkan pembaziran duit rakyat dan memastikan kes saman ke atas Petronas ditarik balik pada 28 Jun 2019 tidak berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Syahbuddin menjelaskan, kerajaan negeri sebenarnya mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan hak royalti itu ketika pentadbiran kerajaan pusat berada di bawah dua bekas Perdana Menteri, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ketika itu Ahli Parlimen Pas Kelantan turut berada dalam barisan kabinet tetapi tidak membangkitkan isu pertikaian tafsiran Akta Wilayah Laut 2012 mengikut telahan dan tafsiran Kerajaan Kelantan bagi membolehkan mereka menerima terus royalti tersebut.
“Tambahan pula Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) pada ketika itu sepatutnya boleh menasihatkan Perdana Menteri ketika itu untuk melihat kewajaran yang wujud dalam Akta Wilayah Laut 2012,” ujarnya. – UTUSAN