SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperkenalkan Kelab Zakat Aulad (ZAC) sebagai inisiatif menanam sikap dan tanggungjawab menunaikan zakat dalam kalangan kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, amat penting untuk mendedahkan kanak-kanak kepada asas zakat supaya mereka memahami kewajiban menunaikan ibadah rukun Islam ketiga itu.
“ZAC bukanlah sesuatu adalah kesinambungan daripada Modul Pendidikan Zakat Selangor (MPZS) yang diperkenalkan di seluruh sekolah agama naungan JAIS bermula pada bulan Ogos 2022. MPZS merupakan salah satu usaha LZS bersama JAIS, bagi memantapkan pendidikan Islam khususnya zakat di sekolah agama naungan JAIS.
“Untuk makluman, MPZS diperkenalkan sebagai subjek kokurikulum dan diterapkan di luar waktu pembelajaran rasmi sekolah naungan JAIS,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ZAC, hari ini.
Menurutnya, ZAC disasarkan kepada murid seawal darjah empat yang sudah mempunyai kemampuan untuk belajar dan memahami sesuatu perkara dengan lebih cepat.
“LZS mengalakkan seramai mungkin murid daripada sekolah naungan JAIS menyertai ZAC. Namun paling penting, murid memahami apa yang dipelajari dalam MPZS.
“Mereka yang menjadi ZAC akan diberikan beberapa keistimewaan seperti melawat premis LZS dan mendapat markah khas daripada JAIS bagi menyokong kemasukan mereka ke sekolah menengah milik JAIS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Sabirin memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia supaya modul MPZS boleh dilaksanakan di sekolah harian biasa.
Malah, sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Selangor juga sudah pun melaksanakan modul MPZS kepada mahasiswa menerusi projek pilot mereka. – UTUSAN