‘Kejayaan untuk dikongsi, bukan dinikmati diri sendiri’

‘Kejayaan untuk dikongsi, bukan dinikmati diri sendiri’

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah mengurniakan ijazah kepada graduan sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-37 di Sintok, Kubang Pasu, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan para graduan agar berkongsi kejayaan masing-masing dengan masyarakat.

Baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah, bakat dan kemahiran yang ada pada diri mereka mesti memberi manfaat dan impak positif kepada masyarakat sama ada melalui penglibatan dalam bidang profesional atau sumbangan secara kerja amal.

“Para graduan harus sedar bahawa kejayaan yang dikecapi dalam kehidupan bukan sekadar untuk dinikmati oleh diri sendiri, namun sebenarnya hendaklah dikongsi dan dimanfaatkan bersama-sama orang lain.

“Seandainya telah berjaya capai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan, seharusnya nilai-nilai moral yang dimiliki hendaklah tidak dikorbankan. Ini bermakna kepimpinan sebenar bermula dengan menjaga kebajikan orang lain dan sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-37 di sini, semalam.

Titahnya, graduan dinasihatkan bekerja dalam bidang yang diminati kerana ia akan memberi kepuasan kepada mereka.

“Ini bermaksud kebahagiaan dalam kerjaya tidak datang semata-mata daripada gaji atau gelaran tetapi dengan melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat,” titah baginda.

Sultan Kedah bertitah, ilmu yang dipelajari di universiti juga hanyalah permulaan kerana para graduan perlu terus belajar sama ada melalui pendidikan formal atau bukan formal dengan mengekalkan rasa ingin tahu.

“Sebenarnya pembelajaran di luar pendidikan formal akan lebih mematangkan graduan untuk mengharungi kehidupan di dunia serba mencabar ini.

“Harus ingat, seandainya menghadapi cabaran dan kegagalan, sebenarnya itu sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan. Kegagalan boleh membentuk ketahanan diri dan membantu memahami kekuatan serta kelemahan diri,” titah baginda.

Terdahulu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, daripada 5,539 graduan sarjana muda tahun ini, seramai 1,681 merupakan graduan kelas pertama serta 84 graduan menerima pelbagai anugerah kecemerlangan akademik dan pingat.

“UUM juga mencatatkan rekod kebolehpasaran graduan yang membanggakan dengan kadar 95 peratus pada tahun lalu.

“Malah, gaji permulaan graduan UUM menunjukkan nilai gaji premium sebanyak 9.2 peratus membuktikan bahawa graduan UUM dihargai oleh industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya