Kedah tentukan fatwa berkaitan GISBH bulan depan

Kedah tentukan fatwa berkaitan GISBH bulan depan

SYEIKH Fadzil Awang (kiri) menganugerahkan Tauliah Mengajar Agama Islam negeri Kedah pada majlis penyampaian di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah akan mengeluarkan fatwa berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bulan depan selepas melaksanakan satu lagi mesyuarat bagi membincangkan segala maklumat yang diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk GISBH sendiri dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama seorang pemimpin atasan GISBH yang mana individu itu mengakui terdapat kesalahan dan penyelewengan berlaku.

Namun dalam masa sama katanya, individu tersebut yang ditemuinya sebelum Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bulan lalu turut mendakwa terdapat beberapa perkara yang dituduh, sebenarnya tidak berlaku dalam GISBH.

“Dalam pertemuan itu, mereka setuju untuk dipanggil bagi ditunjukkan kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan, selain bersedia membetulkan keadaan agar dapat kembali ke pangkal jalan.

“Selain itu, mereka sedia perbetulkan kepercayaan, pegangan dan amalan tetapi janganlah dilibatkan aktiviti ekonomi mereka. Suara mereka itu turut saya sampaikan dalam muzakarah MKI.

“Perbincangan dalam muzakarah itu kemudiannya memutuskan ajaran GISBH masih terikat dengan Al-Arqam dari segi wirid, amalan serta beberapa kepercayaan lain dan keputusan itu diangkat ke Majlis Raja-Raja sebelum diumumkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam negeri Kedah yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di sini, hari ini.

Pengerusi MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot mengumumkan keputusan Mesyuarat MKI Ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu yang memutuskan bahawa ajaran yang dibawa dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH sebagai sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mengulas lanjut Syeikh Fadzil berkata, meskipun Kedah belum mengeluarkan fatwa terhadap isu berkenaan, namun beliau dimaklumkan oleh pihak Cawangan Khas bahawa keputusan MKI sudah cukup untuk menjadi punca kuasa kepada pihak berkuasa mengambil tindakan.

“Di negeri ini, kita dapati pihak GISBH telah menutup pusat-pusat pengajian mereka sebaik isu itu mula diperkatakan orang ramai. Di sini, keadaannya tidaklah lebih serius seperti negeri-negeri lain hingga melibatkan tangkapan dan pusat-pusat pengajian ditutup pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan MKI agar agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat), Syeikh Fadzil berkata, pihaknya bersedia dan tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan perkara itu.

“Selama ini pun Jabatan Mufti Negeri Kedah telah mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan istitabah kepada golongan mualaf yang mahu berpatah balik ke agama lama mereka. Maka kita sudah ada pengalaman dalam melaksanakan perkara itu. Kalau diminta melakukan istitabah, kita sedia laksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya