Kedah, pulih atau ‘bungkus’?

Kedah, pulih atau ‘bungkus’?

Arena bola sepak negeri ini ibarat hidup segan mati tidak mahu terutama membabitkan isu tunggakan gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Arena bola sepak negeri ini ibarat hidup segan mati tidak mahu ekoran kemelut kewangan meruncing yang masih melanda pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC terutamanya membabitkan isu tunggakan gaji lapan bulan.

Suasana suram dalam kem pasukan itu boleh dilihat bukan sahaja ketika sesi latihan pemain, bahkan pada setiap perlawanan di Stadium Darul Aman kebelakangan ini apabila jumlah kehadiran peminat setia skuad Hijau Kuning amat tidak memberangsangkan.

Keadaan menimpa pasukan yang turut diberi jolokan Sang Kenari itu akhirnya menimbulkan tanda tanya sama ada mereka mampu terus bertahan seperti dilalui tahun lalu atau ‘bungkus’ seperti pasukan negeri jiran, Perlis.

Mengulas perkara itu kepada Mingguan Malaysia, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Othman Aziz berpendapat, peruntukan terlalu besar yang diperlukan setiap pasukan Liga Malaysia ketika ini menyukarkan mereka mendapat tajaan.

Berbanding era beliau mengemudi Kedah merangkul gelaran ‘double treble’ dahulu, Othman yang ketika itu pengurus pasukan berkata, perbezaan gaji pemain pada masa itu dengan masa kini terlalu jauh.

“Jika berterusan perkara ini, bola sepak kita satu masa nanti akan sampai jalan buntu kerana perbelanjaan gaji pemain terlalu besar, siapa pun tidak mampu untuk kendalikan pasukan lagi kecuali mungkin Johor Darul Tazim dan Selangor.

“Malah, beberapa tahun kebelakangan ini bukan saja Kedah hadapi masalah itu tetapi beberapa kelab lain berdepan bebanan kewangan sangat tinggi, Perlis contohnya sudah terkubur pasukan dari negeri itu walaupun mereka ada pemain-pemain berbakat.

“Apatah lagi dengan gaji sesetengah pemain hari ini yang lebih tinggi berbanding ketua pegawai eksekutif (CEO) yang menghasilkan untung berjuta-juta,” katanya.
Kata Othman, arena bola sepak hari ini dilihat lebih kepada mengutamakan nilai komersial berbanding sebelum ini yang menerapkan semangat cintakan negeri dalam kalangan pemain.

Katanya, keperluan kewangan KDA FC yang difahamkan mencecah RM2 juta sebulan atau menghampiri RM25 juta setahun ketika ini mungkin menyebabkan tidak ada pihak yang betul-betul bersedia atau layak menjadi penaja.

“Kalau hanya harap tajaan swasta pun tentu mereka harap pulangan setimpal tetapi ketika ini tidak ada projek mega di Kedah untuk mana-mana syarikat yang kelak boleh memberi sumbangan semula kepada bola sepak negeri melalui KFA.

“Malah, sekiranya nak mengharapkan syarikat ber­kaitan kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darul Aman (BDB) dan lain-lain sekali pun mereka tidaak mampu nak keluar bajet sebesar itu,” katanya.

Justeru, Othman mencadangkan agar pasukan KDA melakukan rombakan besar-besaran termasuk membentuk pasukan muda yang ditawarkan gaji lebih setimpal jika mahu berterusan menyaingi pasukan lain dalam Liga Malaysia.

“Kita kena realistik dengan soal untung rugi, jangan letak JDT sebagai penanda aras kerana mereka luar biasa, kemampuan mereka tidak sama, kita kena ukur baju di badan sendiri.

“Saya rasa ada sahaja pemain-pemain berbakat yang mahu beraksi dengan gaji sekitar RM4,000 ke RM5,000 sebulan. Amat tidak praktikal dan realistik jika gaji seorang pemain cecah puluhan ribu tetapi bila tiada bajet nak lunas gaji, maka pemain pun merajuk,” katanya.

Untuk rekod, KDA FC sehingga kini sudah kehilangan seorang tonggak import ekoran kemelut tunggakan gaji iaitu Habib Haroon sebelum dikhabarkan beberapa lagi pemain import akan angkat kaki bermula Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya