SEREMBAN: Peruntukan yang disalurkan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk sebanyak RM492,460 pada tahun ini bagi pembangunan sukan wushu dilihat membuahkan hasil.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan berkenaan juga termasuklah geran bantuan kepada 14 Majlis Sukan Negeri, elaun untuk jurulatih serta sokongan untuk pertandingan dan pengelolaan kejohanan dalam negeri.
“Selain itu, turut disalurkan bantuan penganjuran kejohanan sukan wushu seluruh negara melalui Geran Padanan Sukan, Dana Sukan Komuniti untuk lima kejohanan serta bagi Program Cari Bakat Sukan Wushu.
“KBS bangga kerana peruntukan dan bantuan ini membuahkan hasil dengan pencapaian atlet negara yang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
“Apa yang menarik adalah kini sukan wushu bukan sahaja disertai oleh masyarakat Cina malah boleh dijuarai oleh atlet Melayu. Ini membuktikan bahawa sukan merupakan medium perpaduan antara rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengurniaan Sijil Pencapaian Kepada Ahli-Ahli Pasukan Wushu Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Berangkat mencemar duli ke majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Hannah dalam pada itu berkata, KBS turut mengalu-alukan kehadiran bekas atlet terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan persatuan sukan.
“Ini sudah semestinya kerana kita mahu pastikan bakat, latihan dan kemahiran yang mereka dapat semasa tempoh berlatih dapat diberi semula kepada atlet muda.
“Saya pun sudah minta pihak berkaitan untuk menganjurkan lebih banyak kursus sukan dan pengurusan. Ini patut ada dalam persatuan sukan kerana mereka tahu apa keperluan atlet,” katanya.-UTUSAN.