Kaunselor di sekolah bantu atasi isu mental

Kaunselor di sekolah bantu atasi isu mental

KPM dicadang menyediakan lebih ramai kaunselor kesan pelajar hadapi masalah mental. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta menambah kaunselor terlatih di sekolah untuk memastikan ketersediaan menangani isu kesihatan mental pelajar.

Pakar pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, pe­ningkatan masalah mental dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan keperluan mendesak untuk menyediakan sokongan le­bih efektif di peringkat sekolah.

Justeru, menurut beliau, kerajaan perlu menyediakan latihan tambahan bagi mening­katkan kecekapan kaunseling dalam kalangan kaunselor sekolah untuk memastikan ketersediaan menangani isu kesihatan mental pelajar.

Kata beliau, ia bertujuan memperkukuh peranan kaunselor dalam membimbing pelajar menguruskan emosi dan tekanan yang dihadapi sekali gus memyumbang kepada perkembangan sahsiah mereka.

“Adalah wajar untuk menambah bilangan kaunselor terlatih di setiap sekolah supaya mereka dapat memberi perhatian lebih terperinci kepada pelajar yang memerlukan sokongan tambahan.

“Ini penting untuk memastikan setiap pelajar yang me­ngalami tekanan atau cabaran emosi mempunyai akses kepada bimbingan yang sesuai,” katanya yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan dicadang melaksanakan saringan mental dalam kalangan pelajar sekolah seawal usia tujuh tahun bagi memastikan kanak-kanak bebas tekanan emosi dan perasaan.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, pelaksanaan sa­ringan mental dalam kalangan pelajar sekolah merupakan inisiatif yang baik untuk mengesan isu kesihatan mental pada peringkat awal.

Namun, kata beliau, terdapat beberapa risiko yang perlu dipertimbangkan agar pelaksa­naan saringan itu tidak mendatangkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Antara kebimbangan utama adalah stigma atau label negatif yang mungkin dihadapi oleh pelajar yang disaring positif. Ini boleh menyebabkan mereka berdepan diskriminasi atau pandangan serong daripada rakan sebaya dan masyarakat. Situasi ini juga boleh menambah tekanan emosi dan menjejaskan keyakinan diri mereka.

“Dalam beberapa kes, diagnosis salah boleh berlaku sekiranya saringan awal ini tidak disusuli dengan penilaian lanjut oleh pakar. Ini berpotensi membawa kepada keputusan atau tindakan yang tidak tepat terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya.

Selain itu, Fauziah berkata, isu privasi turut menjadi aspek kritikal dalam pengurusan data kesihatan mental pelajar.

Tegasnya, data tersebut perlu diurus dengan teliti dan berhati-hati untuk mengelakkan pelanggaran privasi serta penggunaan data yang tidak sewajarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya