JOHOR BAHRU: Dianggarkan 600 peserta memeriahkan acara Fun Run dan Fun Ride yang dianjurkan sempena Karnival Madani Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) 2024 di Pasir Gudang, di sini semalam.
Pengurus Besar LPJ, Datuk Monaliza Suhaimi berkata, acara Fun Run disertai lebih 400 peserta manakala Fun Ride membabitkan seramai 169 peserta.
Katanya, program larian itu diadakan bertujuan mengeratkan hubungan antara pihaknya dan komuniti setempat.
“Fun Run melibatkan jarak sejauh lima kilometer, manakala acara Fun Ride yang kali pertama diadakan pula melibatkan jarak sejauh 30km.
“Fun Ride bertujuan memperkenalkan pelabuhan kepada umum. Ia bermula dari ibu pejabat LPJ dan masuk ke Pelabuhan Tanjung Langsat sebelum kembali ke LPJ.
“Kedua-dua acara larian ini mendapat penyertaan baik daripada masyarakat pelbagai latar belakang dan usia, termasuklah peserta dan kakitangan pelabuhan lain di seluruh negara seperti dari Kuantan dan Bintulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Ujarnya maklum balas diterima daripada orang ramai berhubung penganjuran acara larian itu amat memberangsangkan dan ia akan terus diperhebat pada tahun-tahun akan datang.
“Peserta paling muda berusia 8 tahun, manakala paling tua berusia lebih 60 tahun,” katanya. Setiap peserta menerima t-shirt acara dan medal penyertaan.
Pihaknya turut merancang memperhebatkan lagi penganjuran Karnival Madani LPJ tahun depan sempena ulang tahun ke-50 syarikat itu.
Karnival Madani LPJ 2024 dianjurkan dengan kerjasama Johor Port Berhad, PTP Sdn. Bhd,, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Pengangkutan Awam Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.
Sebanyak 44 ruang pameran tersedia dengan penglibatan Kementerian Pengangkutan, operator pelabuhan, universiti tempatan, institusi kewangan, PERKESO, hospital serta syarikat swasta yang menawarkan peluang pekerjaan dalam industri logistik dan maritim.