SHAH ALAM: “Kami sudah cop 10 jari untuk menyerahkan jiwa dan raga dalam ATM (Angkatan Tentera Malaysia).”
Demikian komitmen dinyatakan Komander Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 dalam Misi Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke Lubnan (UNIFIL), Johan Effendi Mohd. Shalleh yang akan mengetuai pasukan ke-12 Malaysia dan Brunei ke negara itu, hari.
Menurutnya yang kali kedua menyertai misi tersebut, beliau bersama 853 pegawai dan anggota termasuk 30 dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) memikul tanggungjawab membawa nama baik negara dalam UNIFIL.
Jelas bapa kepada dua anak itu juga, beliau menyedari misi kali ini memberikan lebih cabaran apabila Lubnan berdepan krisis atau ketegangan di bahagian sempadan dengan Israel terutama di kem-kem pengaman UNIFIL.
“Berdasarkan kepada latihan, setiap kali kami berada dalam barisan, saya kerap kali tekankan supaya betulkan niat, perkuatkan mental dan fizikal. Jadi, kami bersedia tidak ada masalah dari segi fizikal, mental dan moral.
“Kami membawa nama baik Malaysia yang mana sekarang Lubnan berada di dalam krisis kemanusiaan dan buat masa sekarang keadaan di sana agak tegang dan kami mengharapkan situasi akan reda yang membolehkan kami melaksanakan mandat diberikan oleh UNIFIL dengan amanah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, beliau mengetuai perbarisan seramai 220 pegawai dan anggota yang diterbangkan dalam kumpulan pertama MALBATT 850-12 pada Majlis Pemakaian Beret PBB serta penghantaran pasukan ke Lubnan yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sementara itu, isteri Johan Effendi, Haslinda Rahim, 48, memberitahu reda dengan tanggungjawab dan amanah dipikul dan menganggap suami bukan miliknya seorang, tetapi negara.
Menurutnya, beliau berbangga dengan suaminya itu yang diberi kepercayaan untuk menyertai misi tersebut sekali lagi dan kali ini sebagai ketua kepada 854 pegawai dan anggota.
“Terima mesej, masa itu baru lepas hantar anak pergi sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi bila dapat tahu nama beliau naik, saya pun…masa itu tak tahu lagi tentang konflik dan perang yang berlaku, saya pun kata oklah, rezeki kali kedua dapat pergi, sebab itu tugas dan tanggungjawabnya.
“Saya berasa bangga bila namanya sekali lagi terpilih untuk kesana. Reaksi pada mula-mula dengar memang berbelah bahagi, tetapi….saya berkongsi suami dengan negara, jadi saya reda dan rela untuk dia bertugas di mana sahaja.
“Saya doakan keselamatan mereka, selamat pergi dan balik, pergi dengan jumlah itu, balik pun dengan jumlah yang sama,” luahnya sebak. – UTUSAN