PONTIAN: Komuniti Perikanan Pulai Sebatang (MyKP) mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM500,000 setahun akibat perbuatan mencuri kerang yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusinya, Ismail Hassan berkata, kira-kira 15 tan kerang pelbagai saiz termasuk anak benih kerang dicuri sehingga menyebabkan 20 nelayan yang melakukan kerja-kerja menyauk kerang dibawah MyKP kehilangan sumber pendapatan.
Menurutnya, saiz kerang yang dibenarkan untuk dituai oleh Jabatan Perikanan ialah 24 milimeter (mm), namun kebanyakannya tidak sempat membesar disebabkan tindakan rakus pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
“Pembeli kerang yang dicuri boleh diibaratkan sebagai pembeli besi buruk yang membeli pelbagai jenis besi buruk termasuk yang dicuri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, MyKP telah diberikan dua lot kawasan pembiakan kerang di laut Pulai Sebatang dengan dikenakan pembayaran tol, dengan setiap lot diberikan kepada 10 nelayan untuk menjaganya.
”Tetapi kawasan yang telah dikhaskan kepada kami pun turut diceroboh, bagaimana kami semua nak cari sesuap nasi,” tegasnya sambil berharap pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan mencuri kerang daripada terus berleluasa.
Beliau juga mencadangkan supaya penjual kerang perlu mengemukakan permit dengan menyatakan lokasi kerang yang diambil bagi mengesan kerang yang dicuri.
Hassan berkata, ahli MyKP sentiasa mematuhi peraturan dengan melepaskan semula anak-anak kerang ke laut bagi membolehkannya membesar sebelum boleh dituai.