SEREMBAN: Jumlah mangsa yang terjejas banjir di Negeri Sembilan kini meningkat kepada seramai kepada 1,379 orang setakat pukul 10.30 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Nazri Mes Kam berkata, sehingga kini sebanyak 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri ini iaitu di daerah enam buah di daerah Tampin, empat di Kuala Pilah dan tiga buah PPS di Jempol.
“Masih ada lagi PPS yang sedang dikemaskini bilangan mangsa,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, daerah Tampin mencatatkan jumlah mangsa tertinggi yang kini berada di PPS iaitu seramai 895 orang melibatkan 223 keluarga.
Antara PPS yang telah dibuka di Tampin adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Keru, SK Felda Sungai Kelamah, Dewan Felda Jelai 4, Masjid Felda Jelai 4, SK Gedok dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Bukit Rokan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Mohd, Fadhil Hassan berkata, susulan kejadian banjir berkenaan, empat buah jalan di daerah itu juga ditutup dengan dua daripadanya untuk semua jenis kenderaan dan dua lagi ditutup untuk kenderaan ringan.
“Menurutnya jalan yang ditutup sepenuhnya adalah Jalan Utama Bukit Rokan dan Jalan Gemas-Tampin di Kampung Gedok. Jalan Gemencheh-Dangi dan Mantai-Air Kuning Selatan ditutup bagi kenderaan ringan.
“Orang awam dinasihatkan supaya memandu secara berhati-hati dan mematuhi papan tanda yang dipasang di kawasan tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.