KUALA LUMPUR: Jumlah peratusan warga asing bertaraf nilai tinggi dan isu kesihatan mental pelajar di Lembah Klang antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah dan peratusan warga asing bertaraf nilai tinggi (ekspatriat) yang berhijrah ke Malaysia mengikut pecahan negara dan nilai sumbangan ekonomi kumpulan sejak dari tahun 2019 hingga 2023.
Sesi diteruskan dengan isu kesihatan mental pelajar yang diajukan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) meminta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan dan langkah-langkah yang berkesan diambil bagi mengatasi isu 12.3 peratus remaja berumur 15 hingga 17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung membunuh diri.
Dalam pada itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bil elektrik dan jumlah tunggakan terlibat mengikut negeri dan kategori pengguna bagi tahun 2023 hingga September 2024.
Selain itu, mengenai isu keselamatan sempadan, Dato Henry Sum Agong (Lawas) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan perancangan pembangunan di kawasan pintu masuk sempadan Malaysia – Indonesia (termasuk di Ba’kelalan Lawas) dengan mengambil kira wujudnya Nusantara sebagai ibu negara Indonesia.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai sama ada kerajaan akan memperkenal ‘exit policy’ kepada penghuni kuarters serta mempertimbang pembinaan lebih banyak projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM.
Tujuan tersebut adalah untuk menggalakkan penghuni kuarters terutamanya yang menetap melebihi 10 tahun memiliki rumah sendiri bagi memberi peluang kepada penjawat awam baharu ditawarkan kuarters dan meringankan beban sewa.
Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini. – UTUSAN