Jual tanah di Gebeng: Semak fakta, maklumat sahih sebelum buat kenyataan - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Jual tanah di Gebeng: Semak fakta, maklumat sahih sebelum buat kenyataan – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Wakil rakyat di negeri ini diingatkan memeriksa fakta sebelum membuat kenyataan atau mempersoalkan berhubung projek-projek membabitkan kerajaan termasuk perjanjian jual beli tanah yang dimeterai antara Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe), 13 November lalu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, apa disampaikannya ini sekadar memberikan nasihat kepada semua wakil rakyat tidak kira mewakili kerajaan atau pembangkang supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sesuatu perkara tanpa maklumat dan fakta yang tepat.

Menurutnya, wakil rakyat perlu terlebih dahulu merujuk sebarang maklumat berkaitan dengan pihak berwajib bukan terus membuat kenyataan kepada pihak media.

“Wakil rakyat harus bijak mengawal emosi dalam menerima sesuatu maklumat, usah tergesa-gesa sebar dan membuat andaian yang tidak pasti. Dalam isu berhubung jualan tanah di Gebeng, sepatutnya fakta harus disemak terlebih dahulu,” katanya yang pada awalnya keberatan ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mendesak kerajaan Pahang dan Pasdec untuk membuat pendedahan secara terperinci tentang transaksi penjualan tanah di Gebeng kepada sebuah syarikat China.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu dilaporkan berkata, pendedahan perlu dibuat bagi menjawab pertanyaan rakyat yang ingin tahu berhubung status pemilikan tanah tersebut.

Rabu lalu, Pasdec menandatangani perjanjian dengan Petroluxe untuk menjual tanah perindustrian seluas 24 hektar di Harbour Park, Gebeng, bagi membangunkan loji penapis minyak.

Petroluxe yang dimiliki oleh pelabur dari China itu merancang untuk melabur kira-kira RM3 bilion untuk membina kompleks penapisan dan kemudahan petrokimia bersepadu di situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya hari ini dilaporkan berkata, perjanjian jual beli tanah antara Pasdec dan Petroluxe tersebur berstatus tanah pajakan 99 tahun untuk kegunaan industri.

Wan Rosdy berkata, Petroluxe akan membangunkan kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang membabitkan pelaburan berjumlah RM3 bilion.

Menteri Besar itu berharap rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan Andansura seolah-olah Pasdec sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa perancangan jangka panjang.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berharap perkara itu menjadi pengajaran buat semua ADUN di negeri ini supaya tidak sewenang-sewenangnya membuat kenyataan sebaliknya memeriksa fakta serta kesahihan maklumat terlebih dahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN