KUANTAN: Sebanyak 1,877 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan dibuka Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang yang melibatkan kerugian RM81 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 8.4 peratus berbanding tempoh sama tahun tahun lalu membabitkan 2,049 kertas siasatan.
Katanya, JSJK Pahang juga sudah melaksanakan 1,449 tangkapan melibatkan kesalahan tipu, pinjaman wang Ah Long dan lain-lain kesalahan.
“Meneliti kepada statistik pertuduhan pula, JSJK Pahang sudah melaksanakan sebanyak 1,412 jumlah kertas siasatan dituduh.
“Ini termasuk kertas siasatan yang disiasat berdasarkan laporan Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) iaitu sebanyak 465 pertuduhan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bagi Bulan November 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.
Menurut Yahaya lagi, JSJK Pahang juga berjaya menyelesaikan 57.1 peratus pertuduhan menjelang penghujung tahun ini sekali gus membuktikan pengukuhan struktur jabatan berkenaan yang mula membuahkan hasil.
“Akan tetapi, semua warga kerja JSJK Pahang perlu terus berganding bahu dalam melaksanakan pencegahan serta memberikan peringatan kepada masyarakat agar jenayah komersil ini terus dicantas sehabisnya.
“Perbanyakkan tindakan seperti berkempen melalui siaran media, media sosial atau sesi meet and greet bersama masyarakat perlu diteruskan diadakan dari masa ke semasa dalam mencapai objektif yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN