SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggiatkan operasi pemantauan terhadap pergerakan lori dan kenderaan berat yang beroperasi di kawasan kuari di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah tersebut diambil selepas pihaknya kerap menerima aduan terutama daripada penduduk berhubung lori-lori sebut yang melanggar tempoh masa pergerakan yang telah ditetapkan selain membawa muatan berlebihan.
“Saya mahu maklumkan, JPJ akan buat tinjauan, risikan di kawasan-kawasan kuari di seluruh negara untuk melihat adakah peraturan yang telah ditetapkan seperti di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dipatuhi oleh pengusaha kuari dan kenderaan terlibat.
“Kami akan gerakkan anggota untuk buat tinjauan ini namun pastinya kami tidak akan beritahu bilakah masa dan waktunya. Ia bukan gerakkan operasi tetapi lebih kepada pemantauan untuk pastikan adakah dakwaan pengusaha lori kuari ini tidak mematuhi pergerakan, sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada operasi pemeriksaan oleh JPJ terhadap operasi lori-lori kuari yang diadakan Labu di sini hari ini.
Pemeriksaan tersebut turut disertai oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah meminta JPJ untuk meletakkan anggota dan pegawai penguat kuasa jabatan itu di kawasan-kawasan kuari supaya tindakan tegas diambil terhadap lori yang membawa muatan melebihi daripada yang dihadkan.
Sementara itu, Aedy Fadly memberitahu, hasil dua hari pelaksanaan pemeriksaan terhadap lori-lori di kawasan-kawasan kuari di sekitar Nilai, sebanyak 230 notis kesalahan telah dikeluarkan oleh JPJ.
“Ia termasuklah atas kesalahan tidak mematuhi waktu operasi ditetapkan. Jika kita lihat di kawasan ini jalannya kecil, selain da sekolah jadi memang berbahaya. Lori-lori ini dibenarkan berada di jalan raya bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja, kita tidak mahu sebelum pukul 8 dan selepas pukul 5 mereka berada dan masih di jalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan operasi pemeriksaan terhadap kenderaan berat sering dilaksanakan oleh JPJ di seluruh negara iaitu menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan.
“Ini adalah aktiviti berterusan dijalankan JPJ, kami bukan sahaja tumpu kepada kawasan kuari, kami buat operasi di seluruh negara berkaitan kenderaan perdagangan dan kenderaan lain, itu tidak berhenti.
“Pada bulan September sehingga Oktober lalu, 185,340 kenderaan perdagangan barangan telah diperiksa diikuti pemeriksaan terhadap kenderaan perdagangan perkhidmatan awam sebanyak 24,208 buah. Daripada jumlah itu, sebanyak 67,176 notis kesalahan telah dikeluarkan manakala sebanyak 129 kenderaan telah pun di sita,” katanya.-UTUSAN.