JOHOR BAHRU: Orang ramai, khususnya masyarakat Pasir Gudang dijemput menyertai dan memeriahkan pelbagai aktiviti menarik sempena penganjuran Karnival Madani LPJ 2024, selama tiga hari bermula semalam.
Pengurus Kanan Unit Khidmat Korporat Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Ts. Arzanizam Mohammad berkata, karnival edisi kedua, berlangsung di Ibu pejabat LPJ, di Pasir Gudang, dekat sini menyajikan pelbagai program antaranya pertandingan busana adiwira, pameran Jom Masuk U, pertandingan mewarna, cabutan nombor bertuah, pameran bonsai serta jualan makanan dan minuman.
“Bagi pencari kerja yang berminat menyertai bidang pelabuhan, ada pameran kerjaya.
“Lepasan sekolah dan pelajar juga boleh mengintai peluang melanjutkan pengajian mereka dengan mengunjungi pameran Jom Masuk U,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Karnival berkenaan dimeriahkan dengan Fun Ride, Fun Run, lawatan ke pelabuhan, eksplorasi, konsert dan karaoke.
Fun Ride dan Fun Run yang masing-masing melibatkan jarak 30 dan lima kilometer dijangka disertai 600 peserta.
Arzanizam berkata, bagi membolehkan orang ramai mengenali dan melihat operasi di kawasan pelabuhan, mereka boleh melawat ke Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
“Ada empat bas percuma disediakan Pihak Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi membawa orang ramai mengunjungi kedua-dua pelabuhan berkenaan,” katanya.
Orang ramai turut dijemput menghadiri program Bicara Ad-Adin yang diadakan di tapak karnival bermula pukul 8.30 malam ini.
Sementara itu pada Sabtu dan Ahad orang ramai boleh berhibur di konsert yang menampilkan beberapa artis popular tanah air seperti Kumpulan Khalifah, Floor 88, Sarah Suhairi, Aepul Roza, Irfan The Barista serta Shana & 3KS.
Karnival bertujuan memperkenalkan peranan dan mendekatkan LPJ dengan orang ramai serta komuniti, dijangka menarik kunjungan lebih 5,000 pengunjung.