Johor tak aniaya perniagaan GISBH - Exco

Johor tak aniaya perniagaan GISBH – Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak pernah menganiaya perniagaan mana-mana organisasi Islam di negeri ini melainkan sudah terbukti bertentangan dengan ajaran Al Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Mufti mendapati GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bukan sahaja menggunakan perniagaan untuk ajaran sesat tetapi mendapati berlakunya pengabaian terhadap kanak-kanak dan wanita, justeru kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan terhadap organisasi berkenaan.

“Kita ada bertemu dengan kanak-kanak kecil hingga berusia 18 tahun di bangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ada yang digunakan sebagai buruh paksa sedangkan Islam tidak pernah mengajar untuk melakukan penganiayaan, itu belum sentuh mengenai gangguan seksual dan siasatan polis mendapati ia berlaku,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Penggal Ketiga Kali ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, garis panduan tentang penubuhan Jawatankuasa Membanteras Isu Ajaran Sesat dibawa dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 23 Ogos lalu yang mencadangkan tindakan segera boleh dilakukan pihak berkuasa adalah daripada sudut pemulihan akidah, undang-undang syariah dan tindakan undang undang.

Sementara itu katanya, pihaknya bertegas bahawa guru-guru agama yang ingin berkongsikan ilmu di Johor, perlu mendapat tauliah dan menghormati undang-undang di negeri ini.

“Tokoh agama menasihatkan orang supaya ikut perundangan, maka mereka perlu lakukan yang sama dan nasihat saya, mohonlah tauliah jika ingin berkongsi ilmu di Johor. Ada antaranya yang mohon tauliah tapi enggan hadir apabila dipanggil temu duga, dengan alasan popular terpampang di kaca TV dan dada akhbar. Setinggi manapun kamu, syarat wajib dipatuhi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya