Johor penyumbang terbesar sektor pertanian negara

Johor penyumbang terbesar sektor pertanian negara

ZAHARI Sarip pada sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Negeri ini menjadi penyumbang terbesar sektor pertanian dalam negara dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM17.21 billion.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, daripada jumlah itu, Johor menyumbang kira-kira 17.1 peratus KDNK sektor pertanian negara.

Beliau berkata, subsektor tanaman menjadi penyumbang terbesar, iaitu 67.88 peratus, diikuti ternakan sebanyak 25.36 peratus dan perikanan sebanyak 6.59 peratus.

Johor juga merupakan pengeluar terbesar dan utama bagi komoditi-komoditi sektor perta­nian dan agromakanan dalam negara antaranya buah-buahan, tanaman industri, industri asas tani, herba dan rempah ratus.

“Berdasarkan data sumba­ngan dan pencapaian tersebut, Johor mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan industri agromakanan untuk terus dibangunkan dan diperkasakan. Oleh itu, kerajaan negeri mene­rusi Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor menyasarkan peningkatan pengeluaran kepada tiga subsektor komoditi utama dalam tempoh lima tahun ini sehingga 2027.

“Ia melibatkan sasaran pe­ningkatan sebanyak 33 peratus, masing-masing bagi pengelua­ran buah-buahan dan sayur-sayuran, 62 peratus bagi pengeluaran akuakultur dan 34.5 peratus populasi ternakan ruminan,” katanya menjawab soalan Abd. Mutalip Abd. Rahim (BN-Layang-Layang) dan Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram) pada sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini semalam.

Zahari berkata, pada tahun ini, pembangunan sektor pertanian diperkasakan dengan suntikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM68.7 juta yang digunakan bagi pelaksanaan pelbagai program atau insentif bantuan.

“Bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil juga, pemain-pemain industri turut digalakkan dan dibantu mene­rusi penggunaan teknologi, me­kanisasi dan automasi yang di­adaptasikan melalui Program Memperkasa Pertanian Pintar dan Mekanisasi Pertanian.

“Para pengusaha sektor pertanian ini disuntik dengan insentif oleh kerajaan supaya teknologi tersebut dapat digunakan, dan di­sebarluaskan pula kepada pe­ngusaha yang lain. Hasilnya, per­sekitaran dan lingkungan pertanian di negeri Johor akan berubah daripada pertanian konvensional menjadi moden,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya