JKKN tarik minat belia hayati lagu asli

JKKN tarik minat belia hayati lagu asli

JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited memartabatkan irama lagu asli melalui penganjuran Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 bagi menarik minat gene­rasi muda terhadap seni muzik tradisional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited memartabatkan irama lagu asli melalui penganjuran Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 bagi menarik minat gene­rasi muda terhadap seni muzik tradisional.

Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN, Mohamd Raizuli Jusoh berkata, usaha itu bertujuan memastikan warisan muzik tradisional tersebut tidak dilupakan serta kekal dihargai masyarakat.

Kata beliau, penganjuran program itu berperanan membuka mata masyarakat untuk menilai mesej positif yang di­sampaikan melalui lagu asli.

“Tujuan utama kami adalah menarik golongan muda supaya menghayati, mencintai dan mengangkat martabat lagu-lagu asli. Lagu-lagu asli ini suatu ketika dahulu pada era 1940-an hingga 1980-an sering digunakan dalam persembahan bangsawan untuk menghubungkan babak-babak ter­tentu.

“Keunikan lagu-lagu asli terletak pada pantun-pantunnya yang disampaikan dengan bahasa indah dan penuh nasihat. Setiap lirik lagu mengandungi nilai-nilai murni yang cukup bermakna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, peserta dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Adriana Azzara Mohd. Rizal, 18, berkata, penglibatannya dalam seni lagu asli bermula tiga tahun lalu ketika menyertai bengkel lagu asli anjuran JKKN Pulau Pinang.

“Sebelum ini kalau disuruh menyanyi lagu asli, saya akan elak sebab lagu asli memang susah dan saya anggap ia membosankan. Tapi selepas bengkel itu, saya mula fikir, mungkin boleh cuba sertai Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan. Dari situ, minat saya semakin mendalam,” ujarnya.

Dalam pada itu, peserta dari Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Abdul Halim Hisamudin, 19, berkata, lagu asli bukan sahaja menyerlahkan identiti Malaysia tetapi memuatkan elemen sejarah dalam lirik serta menjadikannya sesuatu yang bernilai untuk dipelajari oleh generasi muda.

“Cabaran utama adalah lagu asli ini susah. Tidak seperti lagu moden, ia ada banyak peraturan dan adab. Kita tidak boleh sebarang lenggok, ada pecahan seperti ghazal, inang, zapin dan lagu asli itu sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN