JIM beri tumpuan pulih imej, persepsi - Utusan Malaysia

JIM beri tumpuan pulih imej, persepsi

ZAKARIA Shaaban (tengah) ketika memeriksa kawalan kehormatan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini memberikan penekanan dalam memulihkan imej terutama persepsi mengenai integriti jabatan dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu akan diberikan tumpuan sepenuhnya selain soal kebajikan anggota dan pegawai yang turut akan akan diberikan penekanan.

“Kami dalam merangka strategi bagaimana untuk meningkatkan prestasi kerja yang lebih cemerlang. Kami percaya usaha secara holistik ini penting untuk kami pastikan mereka dapat berkhidmat dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Seramai 361 orang pegawai yang terdiri daripada tiga orang Kadet Penolong Imigresen Gred KP29 dan 358 orang Kadet Pegawai Imigresen Gred KP19 menamatkan latihan tersebut hari ini selepas menjalani latihan selamat empat bulan di akademi berkenaan.

Dalam pada itu, Zakaria menambah, berkenaan soal integriti, beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku. 

“Tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan. Jabatan ini harus menjadi contoh dalam mempraktikkan nilai-nilai integriti dan ketelusan. 

“Pegawai yang mempunyai masalah disiplin dan integriti tiada tempat di JIM khususnya dan mana-mana agensi kerajaan umumnya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sindiket ‘counter setting’ di kaunter Imigresen, beliau memberitahu pihaknya masih belum menerima laporan siasatan tersebut daripada pihak SPRM.

“Kami serahkan sepenuhnya kepada SPRM, ia masih dalam siasatan, SPRM belum beri laporan kepada kami namun kami memang beri kerjasama sepenuhnya untuk siasatan dilaksanakan.

“Kami tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai Imigresen yang terlibat dalam soal integriti, tindakan tegas akan diambil apabila SPRM selesai siasatan mereka.

“Setakat ini pegawai dan anggota yang disiasat masih bertugas namun untuk makluman mereka tidak lagi terlibat dan bertugas di kaunter pintu masuk negara,” katanya lagi.

Zakaria sementara itu memaklumkan, JIM kini dalam peringkat proses perolehan bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk negara.

“Proses itu akan mengambil masa dan ia juga berterusan, ia bukan hanya one-off  projek pembangunan ini bukan lulus sekali gus, proses ini akan terus berjalan dan ia akan diperluaskan di semua pintu masuk negara.

“Dari semasa ke semasa kami akan memohon untuk ditingkatkan atau mungkin teknologi lain yang mungkin boleh membantu kami dalam mendigitalisasi perkhidmatan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya